KOTA KINABALU: Dua lagi kluster baharu yang membabitkan institusi pendidikan direkodkan di Sabah pada Rabu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata kedua-dua kluster berkenaan adalah Kluster Jalan Sokid di Ranau dan Kluster Jalan Bandau di Kota Marudu.

"Kluster Jalan Sokid dilaporkan berlaku dalam kalangan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bundu Tuhan pada 4 Feb lepas.

"Kes indeks adalah seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun iaitu pekerja kontrak pembersihan di sekolah terbabit.

"Daripada 41 kontak rapat yang disaring, 27 individu terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas didapati positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif 28 kes termasuk 17 kes baharu pada Rabu," katanya dalam kenyataan Rabu malam.

Masidi, yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata Kluster Jalan Bandau pula melibatkan pelajar asrama di SMK Kota Marudu 1 dan kes indeks adalah pelajar lelaki berusia 18 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 9 Feb.

"Saringan terhadap 175 kontak rapat yang terdiri daripada rakan sebilik dan rakan sekelas kemudiannya mendapati pertambahan 95 kes dengan jumlah kumulatif 96 kes," katanya.

Pada masa yang sama, Masidi berkata Sabah mencatatkan jangkitan baharu yang tertinggi pada Rabu melepasi paras angka 5,000 dengan 5,082 kes.

"Jumlah peningkatan berbanding selasa ialah 708 kes. Kota Kinabalu mencatatkan kes baharu yang tertinggi di Sabah dengan 1,086 kes.

"Hampir 60 peratus daripada kes-kes yang berlaku di Kota Kinabalu merupakan kes bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik.

"Apa yang membimbangkan ialah jangkitan secara sporadik sudah menjadi satu trend di hampir semua daerah di Sabah dan hari ini 59.60 peratus atau 3,029 daripada 5,082 kes adalah dalam kategori ini.

"Statistik tinggi jangkitan secara sporadik bermakna jumlah kes baharu akan berganda dengan lebih cepat," katanya.

-- BERNAMA